KUALA LUMPUR, 7 Julai 2022 – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara OKU Sentral dan Teras Legacy telah diadakan di Pavilion Hotel, Kuala Lumpur pada hari Khamis, 7 Julai 2022 jam 2.30 petang dengan menyaksikan termerterainya secara rasmi kerjasama antara kedua-dua pihak.
Memorandum Persefahaman ini ditandatangani oleh YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi selaku President OKU Sentral manakala di pihak Teras Legacy, memorandum ditandatangani oleh Dr Hj Redzuan Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif. Majlis disaksikan oleh Hj Nazrul Hisham, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, bersama Tuan Daniel Sharani, Deputy President OKU Sentral serta En Zaidi Adnan, Chief Advisor Teras Legacy selaku orang yang bertanggungjawab untuk program Sinar Senyuman Al-Sham ini.
Demi mempermudah akses perlindungan kewangan takaful kepada golongan kurang berupaya, Program Sinar Senyuman Al-Shams oleh Zurich Malaysia kembali memberi sinar harapan kepada golongan OKU. Menurut Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi, program ini menawarkan perlindungan kewangan kepada OKU dengan kadar bayaran serendah RM50 sebulan.
Pakej ini dikenakan bayaran serendah RM50 sebulan yang menawarkan perlindungan berjumlah RM50,000 hingga RM350,000 dengan pelbagai manfaat bukan sahaja kepada pencarum malah ahli keluarga.
Pada majlis tersebut, kedua-dua pihak telah menzahirkan rasa syukur atas termaktub kerjasama ini di mana Teras Legacy dapat menyumbang dari segi peluang pekerjaan dan permohonan takaful yang dijamin lulus untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi pula berkata pihaknya amat bersyukur kerana ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan bertahun lamanya oleh golongan itu.
“Jadi ini adalah sesuatu perkara yang sudah lama kami lalui dan ibu bapa kami gusar apabila mereka tiada nanti.
“Namun dengan adanya pakej ini, kesemua OKU daripada 7 kategori akan diberi peluang untuk mendapat perlindungan insurans tanpa perlu mendapatkan pengesahan daripada doktor,” katanya.
Beliau juga berkata perjanjian itu akan memberi peluang kepada OKU untuk berdikari dengan menyokong diri mereka bekerja dan pekerjaan ini boleh dilaksanakan secara online sahaja.
Majlis berjalan lancar dan berakhir pada jam 5.30 petang dengan sesi sidang media bersama BERNAMA dan sesi bergambar.
Tahniah kepada Zurich Takaful serta Teras Legacy Sdn Bhd. Tahniah juga kepada YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi. Dan juga terima kasih kepada semua warga yang hadir dan juga Persatuan yang hadir. Insyaallah kami warga sukan Para tidak akan melepaskan peluang ini dan menyertai program insuran Takaful Al-Shams oleh Zurich Takaful.